Aduhai wanita... sungguh mahal dirimu di mata lelaki, tetapi
mengapa masih ada lagi yang tidak menyedari? Dirimu sungguh agung di mata
lelaki dan terlalu mulia di sisi Penciptamu. Namun itu semua hanya jika kau
tahu mengagungkan dan memuliakan dirimu sendiri.
Menjadi wanita adalah satu anugerah yang paling indah. Seharum
mana pun wangian kasturi tidak mampu menandingi wangian budi pekertimu,
lembutnya gumpalan kapas masih tewas dek kelembutan tingkahmu. Halusnya butiran
pasir yang menjadi peneman setia si pantai masih tidak dapat menandingi
halusnya tuturmu.
Duhai wanita... Sebenarnya maruah diri yang kau galas lebih
berat daripada bongkah-bongkah batu yang besar. Kau menepis dengan penuh sabar
setiap godaan nafsu dunia yang datang bertubi-tubi hingga hampir mengheretmu ke
kancah yang penuh onak duri. Percayalah wanita, akan ada bahagia di akhir
kesengsaraanmu asal saja kesabaran menjadi bentengmu.
Wanita ku... Terima sahaja cemuhan dan makian yang muncul bederu
-deru ibarat halilintar yang singgah di cupingmu, terima saja itu dengan
senyuman dan ambil saja sebagai halwa telinga yang mengajarkan mu erti
kesabaran. Itu sebenarnya dendangan sumbang dari bibir-bibir sumbing yang ingin
melihat mu tersungkur. Percayalah akan ada berita manis yang singgah dicupingmu
suatu masa nanti asal saja gunung kesabaranmu tidak pernah kau tarah.
Saudara wanitaku, iman mu adalah perisai, agamamu adalah
landasanmu di setiap langkah yang kau atur. Jangan sesekali kau biarkan anasir
songsang memperkotak-katikkan imanmu apatah lagi agama yang kau kandung hanya
kerana nikmat duniawi semata-mata. Jangan kau gadaikan maruahmu yang tidak ada
galang gantinya hanya kerana mengejar sesuatu yang tidak mungkin bisa kau
kendong.
Andai kata kau tersungkur, segeralah bangkit dan
sekiranya kau tersasar jauh dari landasan hidupmu, atur kembali langkahmu
bersama titipan iman dan mulakan dengan langkah yang baru. Sedangkan Sang
Jentayu yang kepatahan sayapnya masih bisa hidup bertongkat paruh apatah lagi
kau yang dianugerahkan akal fikiran. Jangan bersedih wahai wanita, andai apa
yang kau ingini tidak kau beroleh di dunia, percayalah syurga itu sentiasa
menantimu.
Bulatnya iman dan taqwa Sumaiyah ketika dihunuskan tombak
ditubuhnya, demikian jugalah bulat imanmu harus kepada Penciptamu. Peganglah
kata kata ini, "Kau sebenarnya tidak akan tersasar seandainya
keimananmu kau jadikan sebagai tunjang dalam kehidupan".
Wanita, biar tawadukmu lebih menggungung daripada kejelitaanmu,
biar keayuanmu terpancar dek kerana lemah gemalainya perilaku. Biar
kebijaksanaanmu terpampang oleh tingginya ilmumu. Jangan sesaat pun kau lupa
setianya Masyitah pada Tuhannya, agungnya kasih Khadijah kepada
agamanya dan perjuangan srikandi-srikandi agama terdahulu.
Jadikan agamamu sebagai tunjang yang memperkasakan akidahmu.Biar
kesabaranmu menjadi benteng perjuanganmu dan lebarkan imanmu dengan sejuta
lapis sifat mahmudah. Jadilah kita wanita paling bahagia.
No comments:
Post a Comment