Malam ini, lelaki itu sunyi. Jalan bersendirian di atas lantai
hitam. Atmosfera gelap menyelimuti cahaya. Yang tinggal hanya cahaya bintang
dan bulan. Lebih tepat, angin turut bertiup enak, membelai rambut lelaki yang
kusut masai .
Terbit rasa ingin tahu. Rindu kepada secebis dirinya. Secebis
yang bisa memberikan lelaki itu sebuah perasaan bahagia yang bukan biasa. Rumit
untuk diterangkan dan dihuraikan. Bahagia yang mampu menyempurnakan agama. Itu
mungkin cukup penjelasannya .
Namun, lelaki itu tidak tahu, tidak tahu ke mana hilangnya
cebisan itu. Mungkin lebih tepat , lelaki itu tidak tahu pun segala tentang
cebisan itu melainkan tuhan yang maha mengetahui. Redha.
Lelaki itu berjalan perlahan, berteduh di bawah bumbung yang
bercahaya. Meraba-raba pemandangannya, mencari cebisan yang entah bagaimana
rupanya. Secebis yang bisa memberi perasaan bahagia yang menyempurnakan agama
lelaki itu.
Lelaki itu mula memberi pandangan pertama
.
Cebisan bertudung merah jambu. Pandangan kedua lelaki itu
melekat ke bumi.
Cebisan berambut perang kemerahan-merahan. Pandangan kedua
lelaki itu melekat ke bumi.
Cebisan berkaca mata comel. Pandangan kedua lelaki itu melekat
ke bumi.
Susur keluar diatur. Kembali ke atmosfera gelap. Buntu. Entah
bagaimana rupa cebisan yang mampu memberi perasaan bahagia buat lelaki itu
sepanjang hidupnya.
Cebisan yang boleh memberikan lelaki itu satu lagi perasaan yang
ikhlas memberikan setia mengikat janji tuhan. Degupan jantung cebisan yang
mampu memberi nyawa untuk senyum bersama lesung pipit sebelum dipanggil tuhan.
Rindu lagi.
Lelaki itu mula melukis hikayat di hatinya. Berdakwatkan rindu
dan berkanvaskan harapan. Baring di atas lantai hitam, mencuit bintang-bintang
yang terapung menyebarkan cahaya kecilnya yang bisa memberi zikir kepada tuhan.
Perempuan bertudung putih membawa si bunga yang cantik
berlatarkan anjung luar rumah. Wajahnya samar-samar. Memegang bunga putih
sambil tunduk dibawah bintang-bintang yang bergemerlapan. Hikayat seorang
perempuan yang berkisahkan rindu menanti cebisan juga yang mampu memberi
perasaan bahagia yang bisa menyempurnakan agamanya.
Dakwat rindu masih basah lagi. Harapan masih luas lagi. Namun,
perasaan bahagia itu tersangkut dek kerana cebisan itu kurang jelas wajahnya.
Bersangka baik dengan tuhan. Pastinya, ini adalah salah satu seni kebaikan
tuhan yang agung.
Tak perlukan si cantik rupawan, cukup sekadar memberi lelaki itu
senyum berlesungkan pipit .
Tak perlukan si kaya raya, cukup sekadar bermewah dengan
bersusah payah bersama lelaki itu .
Tak perlukan si cerdik pandai, cukup sekadar bergeliga
merendahkan diri menghias kebaikan kepada lelaki itu .
' Aku rindu. Aku teringin memandang tepat ke mata mu tanpa ada
lagi pandangan kedua. Ingin sekali aku menyentuh hati mu dengan kalimah-kalimah
bahagiaku. Samar-samar wajahmu, akanku tajamkan penglihatan ku meneroka seluruh
benua, agar wajahmu lebih jelas di potret hatiku. Biarkan aku mengembara
mencari dirimu yang hilang. Pasti aku mahu kuatkan hatiku bagi membiarkan kau
turut derita dengan rinduku. Yakin aku berikan hatiku untuk kau rangkul dengan
hangat , setia menyambut tanganku berjalan ke taman syurga yang kekal abadi . '
Harapan seorang lelaki itu, sebaik sahaja hikayat itu dilukis,
wajah cebisan itu semakin kurang samar-samarnya. Kuat keinginannya untuk lelaki
itu berikan hati yang bisa mencipta bahagia yang dijanjikan tuhan. Semoga
cebisan itu dibisik dengan perasaan yang bahagia ketika ini, entah tidak tahu
benua mana arahnya. Tuhan sahaja lebih maha mengetahui .
oh tuhan , makbulkanlah doa hamba itu.
No comments:
Post a Comment